Fenomena ekuinoks dan cuaca panas





HAMPIR seluruh negara kini menghadapi cuaca panas yang terik sejak beberapa minggu lepas dan menjadi bertambah buruk apabila berlakunya kawasan hutan yang terbakar.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca, keadaan panas negara disebabkan fenomena ekuinoks dan ia dijangka berterusan sehingga bulan depan.

Ekuinoks merupakan keadaan di mana matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.

Ia merupakan fenomena yang berlaku dua kali setiap tahun disebabkan bumi berputar mengelilingi matahari pada sudut 23.50 dan seterusnya mengakibatkan empat musim.

Fenomena berkenaan berlaku pada 20 atau 21 Mac di seluruh kawasan khatulistiwa pada pertengahan musim bunga dan 22 atau 23 September di pertengahan musim luruh setiap tahun.

Ketika itu matahari akan berada betul-betul di garisan khatulistiwa dan menyebabkan matahari berada pada sudut tepat 900 terutama pada waktu tengah hari.

Ini menyebabkan negara yang berada berhampiran garisan berkenaan akan mendapat pancaran matahari yang terik.

Jurucakap Pusat Ramalan Kaji Cuaca, Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca semalam mengeluarkan amaran mengenai negara akan mengalami pancaran matahari paling terik pada 21 Mac ini dengan suhu dijangka mencecah 400C ekoran fenomena ekuinoks tersebut.

Bagaimanapun menurut pakar kaji cuaca tempatan, Prof. Dr. Azizan Abu Samah, ekuinoks merupakan fenomena biasa yang berlaku akibat putaran bumi mengelilingi matahari.

``Ia berlaku apabila bumi menerima cahaya matahari lebih panjang berbanding kadar biasa (di khatulistiwa) iaitu 12 jam.

Biasanya, di kawasan ini matahari menerima cahaya matahari kira-kira 13 jam,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Oleh itu kata Azizan, tidak banyak berlaku perubahan suhu ketara semasa fenomena ini tetapi akan berlakunya cuaca panas terutama pada waktu malam.

Ini berlaku kerana bumi yang secara semula jadinya memindahkan haba keluar dalam bentuk gelombang panjang tidak dapat berbuat demikian kerana beberapa faktor lain.

Antaranya kata beliau ialah keadaan berjerebu yang seolah-olah membentuk lapisan penghalang kepada gelombang panjang ini keluar menyebabkan haba terperangkap.

Selain itu katanya, kekurangan litupan awan semasa ekuinoks juga menyebabkan cuaca panas berlaku di Khatulistiwa.

Pencemaran

Pada masa sama, ketika ini ialah penghujung musim Monsun Timur Laut dan akan memasuki peralihan musim antara monsun sebelum musim memasuki Monsun Barat Daya.

``Ini (penghujung Monsun Timur Laut) juga menyebabkan keadaan kering berlaku,'' katanya.

Bagaimanapun yang membimbangkan ialah keadaan berjerebu sekarang sepatutnya disedari oleh pihak tertentu supaya mengambil langkan mengatasinya.

Azizan yang juga bekas Ketua Penyelidikan Pencemaran Udara berkata, cuaca panas dalam suasana berjerebu akan memburukkan keadaan.

``Adalah lebih baik sekiranya langkah mengatasi jerebu dilakukan sekarang, sebelum berlaku keadaan lebih buruk seperti yang pernah dialami negara ini pada Mac 2002,'' tegas beliau.

Sementara itu pensyarah Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, (U.K.M) Prof. Madya Dr. Mastura Mahmud berkata, ekuinoks adalah sesuatu yang semula jadi tetapi ia diburukkan lagi dengan faktor-faktor lain.

``Biarpun ekuinoks berlaku dua kali setiap tahun, ia jarang menyebabkan perubahan suhu yang melampau,'' katanya.

Suhu di negara ini biasanya hanya hanya berada di antara 280C hingga 340C sepanjang tahun.

``Perubahan suhu yang melampau hanya berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

``Fenomena pemanasan global atau perubahan iklim adalah salah satu penyebab perubahan suhu melampau dialami hampir seluruh dunia,'' katanya.

Dr. Mastura berkata, banyak faktor lain yang menyumbang kepada pemanasan global yang berlaku di kebanyakan bahagian dunia.

Misalnya beberapa kawasan di Eropah berubah kepada panas yang melampau manakala beberapa negara di Timur Tengah diselaputi salji.

``Perubahan cuaca yang melampau banyak juga dipengaruhi oleh aktiviti manusia,'' katanya sambil merujuk kepada kemusnahan hutan yang diteroka tanpa mengambil kira pembangunan mapan.

``Kemusnahan hutan iaitu perubahan guna tanah, pembakaran bahan fosil dan juga peningkatan gas karbon dioksida'' kata Dr. Mastura banyak menyumbang kepada pemanasan global.

``Pembangunan yang tidak mengambil kira mengenai alam sekitar akan mengganggu sistem saliran serta ekosistem sesuatu kawasan,'' tambahnya.

Oleh itu Dr. Mastura menyarankan agar lebih banyak kawasan ditanam dengan pokok-pokok serta kawasan hutan simpan dan tadahan hujan dijaga agar suhu tempatan dapat dikurangkan.

``Proses evapotranspirasi oleh tumbuhan terutamanya boleh bertindak membantu menyederhanakan suhu.

Selain tumbuhan, tambah Dr. Mastura, awan juga memainkan peranan penting dalam mengawal suhu.

Liputan awan di Malaysia yang berkurangan sejak akhir-akhir ini banyak menyumbang kepada peningkatan suhu.

``Awan penting kerana bertindak melindungi ruang angkasa dan permukaan bumi daripada mendapat sinaran matahari secara berterusan,'' katanya.

Gambar satelit yang diambil pada akhir bulan ini menunjukkan tidak terdapat banyak awan di Semenanjung Malaysia.

Antara kesan pemanasan global adalah peningkatan peristiwa suhu melampau, banjir dan kemarau.

Dr. Mastura berkata, kesan daripada fenomena berkenaan tidak dapat diramalkan dengan tepat sama ada ia akan terus kekal atau tidak.

Bagaimanapun banyak perubahan cuaca yang melampau sukar diramalkan seperti peristiwa hujan lebat, panas melampau atau ribut tropika.

``Kita tidak tahu sama ada perubahan berkenaan akan kekal atau akan berubah kepada keadaan asalnya,'' tambahnya lagi.

Manakala cuaca kering akan menjadi bertambah buruk dengan keadaan jerebu yang menyebabkan kualiti udara rendah.

Sumber

0 comments:

Pembakar semangat